Tajuk: 5 Teknik Tingkatkan Kredibiliti Sebagai Seorang Penulis Blog

Catatan Rawak - Penulis: rohaizad - Kategori: Penulis undangan - Tarikh diterbitkan: October 12, 2010 online

Kredibiliti adalah elemen penting dalam diri setiap blogger. Tidak kira apa jua tujuan anda, apabila anda membuat keputusan untuk memiliki blog, maka secara tidak langsung anda berada dalam proses untuk membina kredibiliti.

Dalam dunia blogging, kredibiliti terbahagi kepada beberapa perspektif, antaranya ialah:

• Menggunakan blog bagi tujuan mencipta nama dan menjadi selebriti blogger,
• Blog sebagai medium pelaris jualan,
• Blog digunakan untuk menjenamakan diri dan perniagaan,
• Blog digunakan sebagai tempat untuk berkomunikasi dengan pelanggan dengan lebih efektif,
• Blog sebagai tempat anda memperbaiki kualiti penulisan.

Antara 5 poin yang saya sertakan di atas, mana satukah yang berada dalam situasi anda hari ini?

Sebagai seorang blogger, kita perlu menetapkan jenis kredibiliti yang ingin kita bina supaya blog tersebut tidak lari fokus. Apabila blog tidak lari fokus dari tujuan asalnya, maka sudah tentu pembaca blog anda juga akan terus kekal setia.

Tidak kira anda seorang guru, pelajar, usahawan mahupun sesiapa sahaja. Penggunaan blog amat sesuai untuk meningkatkan kredibiliti anda. Lagipun, siapa yang tidak mahu menempah nama dalam dunia maya bukan?

Persoalannya sekarang, apakah tindakan yang perlu diambil oleh kita semua bagi meningkatkan kredibiliti sebagai seorang penulis blog?

Teknik #1 – Kenalpasti Tujuan Blog Anda Ditubuhkan

Selami sedalam yang mungkin kenapa anda menubuhkan blog anda. Mungkin anda mempunyai niat untuk menunjukkan bahawa anda seorang yang berkebolehan bermain bola sepak. Maka sebab itu anda menubuhkan blog mengenai bola sepak.

Ramai yang melakukan kesilapan kecil ini (termasuk saya) apabila pertama kali menubuhkan blog. Pada hari pertama AqifStrategi.com ditubuhkan, blog ini langsung tidak pernah menyentuh mengenai sebarang maklumat mengenai perniagaan internet dan blogging. Malah saya sendiri tidak pernah terfikir untuk berkongsi tentang isu ini.

Blog saya pada peringkat awal adalah mengenai isu-isu kesihatan kerana saya mahu menjadi autoriti dalam niche tersebut. Tetapi itu hanya misi jangka masa pendek.

Tidak lama kemudian, setelah saya kekeringan idea untuk menyumbangkan maklumat-maklumat mengenai kesihatan, secara tidak langsung saya kerap menerbitkan entri-entri mengenai perniagaan internet dan blogging.

Maka berkembanglah blog AqifStrategi.com sebagai sebuah blog informasi perniagaan internet yang anda lihat sehingga hari ini. Apa yang saya belajar di sini ialah sentiasa mengenalpasti tujuan blog anda ditubuhkan bagi mengelakkan blog anda dari terpesong memberikan maklumat yang tidak berkaitan dengan niche anda.

Pasti anda tertanya-tanya bagaimana dengan pelawat asal blog AqifStrategi.com (semasa saya dalam niche kesihatan). Jawapannya, mereka lari ke blog lain. :)

Teknik #2 – Audiens Merupakan Pemangkin Kredibiliti Anda

Sentiasa ingat bahawa audiens adalah pelawat blog anda.Apabila bercakap mengenai pelawat, maka ia adalah tetamu khas rumah anda. Jadi, anda perlu tahu siapa mereka dan mereka terdiri daripada jenis golongan yang mana satu.

Sebagai contoh, jika blog anda mengenai sukan bola sepak, maka majoriti pembaca blog anda terdiri daripada mereka yang gemar bermain bola sepak. Atau mereka yang ingin belajar bermain bola sepak.

Senaraikan jenis audiens anda terlebih dahulu. Ini bertujuan bagi memudahkan anda untuk berkomunikasi dan menerbitkan entri-entri yang lebih spesifik untuk audiens anda. Dalam contoh blog bola sepak, audiens anda mungkin seperti di bawah:

• Audiens A – Pemain bola sepak profesional
• Audiens B – Jurulatih bola sepak
• Audiens C – Peminat kelab bola sepak
• Audiens D – Mereka yang mahu belajar bola sepak

dan banyak lagi…

Bayangkan jika anda berjaya mengenal pasti siapa audiens anda hari ini, saya yakin anda tidak akan kekeringan idea untuk menerbitkan entri-entri mengenai dunia bola sepak di blog anda. Ini berikutan setiap audiens berbeza isi kandungannya.

Teknik #3 – Tulis Benda Yang Baik, Elakkan Mengkritik

Dalam banyak-banyak blog yang saya lihat (terutamanya blog tempatan), mereka lebih gemar mengkritik berbanding menulis sesuatu ilmu yang boleh dimanfaatkan pembaca.

Walaupun saya akui bahawa blog yang mengamalkan unsur-unsur kritikan ini mendapat sambutan yang hangat dari segi trafik dan pembaca setia, tetapi adakah ia berbaloi jika kita sentiasa fokus pada kesilapan orang lain.

Pernahkah anda terfikir suatu hari nanti blogger-blogger lain akan menghentam anda?

Sentiasa ingat bahawa dunia blogging ini terlalu luas. Jangan sampai anda yang terkena. Jadi, untuk meningkatkan kredibiliti anda sebagai seorang penulis blog yang mempunyai autoriti, maka sentiasa terbitkan entri yang baik iaitu entri berilmu yang dapat dimanfaatkan oleh pembaca anda.

Teknik #4 – Tanya Diri Anda Sebelum Terbitkan Blog Post

“Soalan adalah kuasa. Ia mencerminkan siapa anda dan apa yang anda mahu jadi.” – Aqif Azizan
Mungkin teknik ini agak sukar dipraktikkan kerana rata-rata blogger akan menerbitkan entri mereka tanpa berfikir sejenak tentang apa yang telah ditulis.

Beberapa soalan wajar diajukan pada diri sendiri sebelum anda menekan butang “Publish”. Antaranya ialah:

• Adakah entri ini sesuai dengan tujuan blog aku?
• Adakah para pembaca aku mahukan maklumat ini?
• Adakah maklumat ini dapat meningkatkan kredibiliti aku sebagai _______?
•Ergh… Adakah aku akan dapat kritikan atau sambutan baik selepas menerbitkan entri ini?

Soalan-soalan di atas merupakan soalan yang biasa saya tanya pada diri saya sebelum menerbitkan entri di blog. Ini berikutan kebanyakkan blogger seringkali “terkandas” iaitu mereka tidak sengaja menerbitkan entri peribadi, sedangkan blog mereka adalah untuk tujuan bisnes.

Teknik #5 – Bahasa Menentukan Anda Layak Dihormati atau Sebaliknya

Bagi meningkatkan kredibiliti anda sebagai penulis blog, penggunaan bahasa adalah amat kritikal. Puan Ainon, pemilik syarikat buku PTS pernah berkata;

Penggunaan bahasa yang baik menjelaskan sikap individu tersebut.”

Dengan kata lain, jika penggunaan bahasa anda baik, berkemungkinan besar anda adalah seorang yang baik dari pelbagai aspek (Baik adalah perkara subjektif).

Oh, jangan salah faham. Saya tidak kata anda perlu belajar bahasa baku atau menerapkan penggunaan bahasa sastera (Tetapi jika anda mahu… Silakan) menerusi blog. Bagi saya, cukuplah sekadar bahasa anda itu sedap untuk dibaca dan kurangkan penggunaan bahasa kasar dan bahasa singkat.

Sejauh Mana Kredibiliti Anda Hari Ini?

Saya telah berkongsi 5 teknik yang saya sendiri gunakan untuk meningkatkan kredibiliti sebagai seorang penulis blog. Berdasarkan pengalaman saya, apabila anda menetapkan diri untuk memiliki sebuah blog, maka secara tidak langsung anda adalah seorang penulis yang ingin mengubah dunia dengan penulisan anda.

Tetapi untuk membuatkan pembaca anda mendengar setiap ayat yang anda tulis, kredibiliti anda perlu kukuh terlebih dahulu. Jadi, mari kita kongsi bersama, sejauh manakah kredibiliti yang telah anda bina? Sehingga hari ini, apakah pencapaian yang telah anda peroleh?

Tentang Aqif Azizan:
Aqif Azizan merupakan penulis bebas dan blogger sepenuh masa. Beliau banyak menghabiskan masa untuk menerbitkan entri-entri mengenai dunia perniagaan internet dan blogging di AqifStrategi.com.


Ingin beriklan? Maklumat lanjut di sini

Sudah 27 komen diberi. Giliran anda pula!

  1. Aqif said:

    Terima kasih ya abang Ijad kerana sudi menerbitkan entri ini. Oh ya, jika tidak keberatan, boleh tolong link ayat terakhir iaitu AqifStrategi.com ke blog saya?

    Terima kasih banyak-banyak. :)

  2. terbaik dari perladangan! i loikkeee!

    Aqif Reply:

    He he. Saya juga ‘bakal’ menjadi penulis undangan blog boy bersahaje yang sememangnya terbaik dari ladang. :D

  3. aimannajmy said:

    perghh sempoi aqif…bleh dijadikan teladan utk aku yg bru sgt lgi berjinak2 dalam dunia blogging…tq! salute abih…teknik yg ke 4 salu mendtngkan masalah pada ku..kdg2 nk buat blogpost kena pkiaq abih2

    Aqif Reply:

    Hehe. Sekadar berkongsi ilmu yang tidak seberapa ini. Semoga ia dapat membantu kita semua meningkatkan lagi kredibiliti dalam dunia blogging. :)

  4. zam said:

    good tips from good write… salute…

    Aqif Reply:

    Thanks a lot Zam. :)

  5. mijie said:

    aku point yang ke 5 tu, sebab dulu masa spm kena kutuk ngan member sebab karangan teruk

    pastu aku terus berusaha untuk membaiki penulisan aku dan sampai sekarang aku menjadi minat untuk menulis

    Aqif Reply:

    Bro Mijie, blog bro memang sudah mantap dari pelbagai aspek. Tahniah saya ucapkan kerana sudah berjaya menanam minat untuk terus menulis.

    Mana tahu boleh tulis ebook atau buku lepas ini? Salute~! :D

    mijie Reply:

    alamak bro aqif, malu saya bila cakap macam tu…saya menulis sebab minat menulis bro…macam sy cakap dulu sy BM dalam SPM teruk masa percubaan pastu kena marah ngan cikgu, kena kutuk ngan kawan2 dan pas je exam percubaan sy lipat ganda dengan usaha iaitu menulis 2 karangan setiap hari dan jumpa cikgu setiap hari

    alhamdulillah BM spm dapat A1, jadi dari situ la timbulnya minat nak menulis ni dan lagi satu sebenarnya minat menulis tu pun timbul sebab ia seiring dengan minat membaca surat khabar kot (saya baca paper dari page depan sampai habis, hehehe iklan je tak baca :)

    *pasal menulis ebook tu sy belum layak lagi :)

    Aqif Reply:

    Fuh. Memang banyak unsur-unsur motivasi tentang dunia penulisan bro. Kalau macam saya, memang kena kutuk dulu pasal menulis dalam Bahasa Melayu. He he.

    * Pasal ebook tu, layak atau tidak bukan soalnya. Yang penting mahu dan tidak mahu. Betul kan? Hehe. :D

    mijie Reply:

    suka duka perjalanan hidup aqif, macam tu lah

    *pasal ebook tu..tak nak lah buat, hahaha malas…nanti kalau rajin share kat blog je kot

  6. donny said:

    blog aku rojak.apapun sumbat masuk,apapun terima kasih kerana berikan tips menarik ni,

    Aqif Reply:

    Blog rojak juga boleh tingkatkan kredibiliti. Cuba cari satu topik utama untuk dijadikan penyeri blog. ;)

  7. wanmus said:

    oo aqif tulis..ingatkan ijad tadi..sebab ayat tu memang bukan macam ijad tulis..hehehe..apapun, korang berdua memang blogger berkredibiliti tinggi..good job

    Aqif Reply:

    Terima kasih. WanMus(dot)com pun apa kurangnya. :D

    hafizmd Reply:

    haaa…so, kat situ dah kite boleh bezakan gaya penulisan antara dua otai ni kan? :D

    wanmus Reply:

    tu ar..sorang otai penulisan, sorang lagi otai blogger..hoho

  8. omecool20 said:

    Satu post yang menarik dan mengandungi petua yang ringkas dan padat kepada blogger. Bagus ! :)

    Aqif Reply:

    Terima kasih! :D

  9. fatimah said:

    newbie. tengah cari idea nak buat blog,
    terima kasih sangat2.

  10. nanahana said:

    terima kasih aqif. entri menarik utk semua blogger. all the best ya!

  11. Kujie said:

    Baca entri ini rasa macam diri hanyut tanpa fokus, tak tahu nak letak kategori mana….rojak sangat kot

  12. titan said:

    bagi aku, kita tulis aje apa yang kita nak kat blog dan cipta perbezaan dalam acuan kita. Setiap orang ada gayanya tersendiri dan kadang-kadang kita tak sedar dan itu yang sebenarnya sudah banyak membantu menbina kredibiliti kita.

    Jadi, buat sesuatu yang berbeza, berkomunikasi dengan orang dan updatelah selalu blog-blog kita tu.

  13. hafizmd said:

    terima kasih aqif atas artikel ni dan terima kasih jugak kat bro ijad…

    banyak tips dari entri..insyaAllah akan diusahan sikit demi sikit…

    “bahasa jiwa bangsa”

  14. Ranger said:

    Tips yang menarik dan berguna untuk newbie. Blog saya pun rojak.

    Emm nak tanya macamana nak bagi blog kita dibaca ramai orang? Kena buat promosi ker..TQ

  15. Zairi Zaidi said:

    memang saya perasan satu masa dulu blog aqifstrategi.com pernah jadi blog kesihatan. tapi sekrang memang mantop!