Empunya
Umur penulis sudahpun mencecah 30 tahun dan seperti yang yang semua tahu, penulis adalah seorang lelaki dan bernafsu seperti Nabi Adam.
Penulis menetap di selatan Semenanjung Malaysia. Mendapat pendidikan awal di Tadika Kemas dan hampir mendapat gelaran sebagai pelakon terbaik ketika membuat pementasan lagu “Bangau oh bangau” pada hari perpisahan.
Sayangnya, pencalonan itu terpaksa dibatalkan kerana costume “katak” yang penulis sepatutnya pakai tidak dapat disiapkan oleh Cikgu Fatimah (akhirnya, penulis melompat begitu sahaja dalam pementasan itu).
Sekarang, penulis adalah seorang full time blogger + usahawan internet.
Sejujurnya, penulis tidak pernah membayangkan yang satu hari nanti penulis akan menjadi seorang full time blogger seperti apa yang penulis jadi pada hari ini. Malah, impian untuk menjadi seorang full time blogger tidak pernah wujud dalam diari hidupnya.
Benar, sejak dari kecil lagi penulis memang mempunyai impian dan cita-cita yang tersendiri. Kalau di sekolah dulu bila penulis ditanya oleh guru sekolah “sudah besar nak jadi apa”, jawapan penulis mesti “hendak jadi polis”. Kalau bukan polis, mesti askar. Kalau bukan askar, penulis akan jawab hendak jadi ahli bomba. Sampailah sekolah menengah, kalau ditanya lagi, penulis akan jawab pada gurunya yang dia hendak menjadi MacGyver.
Mengapa MacGyver?
Kerana MacGyver adalah seorang manusia yang boleh hidup dan “survive” hanya dengan menggunakan ilmu yang ada di dalam dirinya. MacGyver juga adalah seorang khalifah Allah yang tidak akan menyusahkan orang lain serta tahu untuk berdikari.
Itulah antara sifat yang dikagumi oleh penulis terhadap MacGyver dan sehinggalah ke hari ini (setelah menjadi full time blogger), sifat itu semakin menebal kerana blogger adalah seorang yang memang hidup berdikari.
Tapi mengapa blogger dan mengapa blogging?
Itulah kuasa Tuhan. Tapi kalau sudah rezeki, tidak ke mana. Walaupun pada asalnya penulis merupakan seorang yang malas membaca dan menulis, tetapi kesedaran untuk penulis dalam meneroka dunia blogging tidak dilepaskan begitu sahaja.
Sekarang penulis mempunyai berpuluh-puluh blog berlainan NICHE. Blog penulis pula semakin bertambah dari masa ke semasa. Sebagai seorang yang menyara hidup melalui blog yang dia miliki, penulis sentiasa menganggap yang blog tidak lari seperti satu “empayar” yang harus dijadikan “network” atau jaringan perniagaan. Lebih banyak blog yang penulis miliki, lebih banyak peluang untuk menjana pendapatan.
Jika ada yang bertanya mengenai kerjaya sebagai seorang blogger, penulis beranggapan yang blogger memang boleh dijadikan satu kerjaya, cuma tidak termaktub lagi dalam negara Malaysia bahawa “blogger” ni satu pekerjaan. Sebab itulah semua personal coaching dan seminar yang penulis anjurkan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Sebenarnya, penulis mula menceburi dunia blogging sejak tahun 2005. Penulis berblogging kerana minat, rasa, kepuasan dan juga fulus. Sehinggalah ke hari ini, aktiviti blogginglah yang menyara hidup penulis dan dia akan tetap terus blogging demi kemajuan dirinya.
Di bawah adalah sedikit latarbelakang penulis yang penulis rasakan sesuai untuk dikongsi bersama:
- Mendapat pendidikan awal di Sekolah Tabika Kemas Surau Bulatan, Kg Melayu Majidi.
- Melanjutkan pelajaran ke Sekolah Kebangsaan Mohd Khir Johari dan berjaya mendapat 3A 1B di dalam peperiksaan UPSR.
- Terus berjuang di arena pendidikan dengan mendapat tawaran belajar di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Johor Bahru. Berjaya mendapat keputusan yang agak memberangsangkan iaitu 4A, 3B dan 1C dalam Penilaian Menengah Rendah 9PMR tetapi gagal mengulanginya untuk Sijil Pelajaran Malaysia. Penulis sekadar mendapat Pangkat 2.
- Sebaik sahaja tamat SPM, penulis mendapat peluang untuk menyambung pelajaran di luar negara iaitu LynnField High School, New Zealand. Malangnya, tawaran itu terpaksa di tolak kerana ibu dan ayah tidak mampu untuk menampung perbelanjaan pengajian. Walaubagaimanapun, surat tawaran tersebut masih lagi di simpan dengan baik untuk di tunjukkan kepada anak cucu suatu hari nanti.
- Selepas itu, penulis masih terus memohon untuk kemasukan semua institut dan universiti tempatan kerajaan tetapi dengan agregad yang tidak cemerlang, maka semua peluang dan pintu telah ditutup rapat. Tanpa putus asa, penulis telah merantau ke Melaka untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah institut pengajian swasta (itupun kerana ibu dan ayah mampu untuk membayar yuran pengajian). Setelah 2 tahun di Melaka, akhirnya penulis berjaya membawa pulang segulung Diploma dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.
- Alam pekerjaan penulis bermula di CarreFour sebagai sales person di bahagian Audio Visual Department. Kemudian, berhijrah di bahagian pelaburan dan cuba untuk berniaga sendiri selepas mendapat modal yang mencukupi.
- Selang beberapa tahun, perniagaan makanan dan catering penulis jatuh dan sekali lagi penulis terpaksa “survive” dengan menjadi seorang salesman credit card UOB Bank. Kemudian, beralih arah sebagai sales executive Merchant Credit Card. Di pendekkan cerita, penulis telah menceburi pelbagai bidang “sales”.
- Dari banquet staff (perhotelan), menjual buku, promoter pakaian di pusat membeli belah dan juga sebagai Retail Trainee di Jaya Jusco Permas Jaya, semuanya pernah menjadi pekerjaan penulis tetapi yang musykilnya, penulis sekarang adalah seorang full time blogger yang sama sekali tidak pernah menjadi pilihan untuk kerjayanya sedikit masa dahulu.
Penulis tidak handal untuk bermadah seperti blogger Melayu yang lain. Penulis hanya menulis apa yang dia suka, penulis canang apa yang dia MAHU dan penulis membebel pada apa yang dia TAHU. Sebab ini adalah blognya dan penulis bayar untuk itu.
Penulis juga bukanlah orang yang arif untuk “komplen” kehidupan orang lain. Dan penulis juga tidak suka orang lain mengganggu hidupnya. Tulisannya tidaklah sekeras blogger hebat yang lain kerana penulis sendiri merasakan tiada sebab untuknya menunjukkan taring yang sememangnya tidak tajam itu.
Blogging penulis bukanlah mengenai kenapa harga sayur naik, kenapa harga minyak naik, kenapa itu dan kenapa ini. Masih banyak lagi yang penulis perlu fikirkan dari memikirkan hal-hal itu semua. Penulis berblogging dengan caranya yang tersendiri.
Peribadi? Tiada apa-apa yang menarik mengenai peribadi penulis. Cuma satu yang pasti, penulis memang rabun orangnya… haha
Catatan gembira tahun 2008: – Terpilih ditemubual oleh akhbar KOSMO.
Catatan gembira tahun 2009: – Dipilih untuk ditemubual oleh majalah online Malaysia iaitu Majalah IM (IM = Internet Marketing) sebagai blogger Melayu Pertama Malaysia yang berjaya menyara hidup hanya dari aktiviti berblogging.
Sekali lagi, selamat datang ke blog umum dan spesifik ini. Bismillah………


